Jumaat, 27 Mac 2015

HUKUM MINUM BERDIRI


Masyarakat Islam di Malaysia terlalu memandang negatif terhadap amalan minum berdiri, terutama dari golongan yang minat dan cenderung terhadap agama. Kekurangan pengetahuan tentang fakta agama yang tepat membuatkan mereka bersikap agak rigid dalam sesuatu isu agama termasuk dalam isu minum berdiri. Untuk mengetahui hakikat sebenar berkenaan hukum minum berdiri, perlu melihat dari sudut nas, amalan para salaf dan pandangan para ulama di dalam mentafsirkan nas-nas yang dimaksudkan.
Secara ringkas ulama berselisih pendapat terhadap hukum minum berdiri kerana terdapat beberapa hadith Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengenai minum berdiri yang kelihatan pada zahirnya bertentangan. Berikut adalah nas-nas yang berkaitan dengan minum berdiri:
HADITH LARANGAN MINUM BERDIRI
أنس بن مالك – رضي الله عنه: أن النبي – صلى الله عليه وسلم -: “نهى أن يشرب الرجل قائمًا”؛ رواه مسلم
Maksudnya: Saidina Anas bin Malik Radiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang seseorang lelaki minum berdiri. (Hadith riwayat Imam Muslim)
قال رسول الله – صلى الله عليه وسلم: لا يشربن أحدٌ منكم قائمًا، فمن نَسِي، فليستقئ. رواه مسلم
Maksudnya: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jangan sekali di antara kamu minum berdiri, sesiapa terlupa maka perlu memuntahkannya”. (Hadith riwayat Imam Muslim)
HADITH YANG MENUNJUKKAN NABI MINUM BERDIRI
قال ابن عباس – رضي الله عنه -: “سقيت رسول الله – صلى الله عليه وسلم – من زمزم، فشرب وهو قائم”. رواه البخاري في صحيحه
Maksudnya: Saidina Ibn Abbas Radiyallahu ‘anhuma berkata, “Aku memberi minum kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dari air zamzam, lalu Baginda minum dalam keadaan berdiri. (Hadith riwayat Imam Bukhari)
أنّ عليًّا رضي الله عنه توضَّأ ثم شرب فضل وضوئه وهو قائم، ثم قال: “إن ناسًا يكرهون الشرب قيامًا، وإن النبي – صلى الله عليه وسلم – صنع مثل ما صنعت”؛ رواه البخاري
Maksudnya: Sesungguhnya Ali Radiyallahu ‘anhu berwuduk kemudian meminum lebihan air wuduknya dalam keadaan berdiri, lalu berkata, “Sesungguhnya manusia tidak menyukai minum berdiri, sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam melakukan sepertimana yang aku lakukan (minum berdiri).” (Hadith riwayat Imam Bukhari)
أن ميسرة رأى عليًّا يشرب قائمًا، فقال: “شربت قائمًا؟ فقال: إن شربت قائمًا، فقد رأيت رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يشرب قائمًا، ولئن شربت قاعدًا، فلقد رأيت رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يشرب قاعدًا”؛ رواه ابن أبي شيبة
Maksudnya: Sesungguhnya Maisarah melihat Ali Radiyallah ‘anhu minum berdiri, lalu beliau berkata (kepada Ali), “Engkau minum berdiri?”. Lalu Ali menjawab, “Jika aku minum berdiri, kerana aku pernah melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam minum berdiri. Jika aku minum duduk, bermakna aku pernah melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam minum duduk.” (Hadith riwayat Imam Ibn Abi Syaibah)
عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده، قال: “رأيت رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يصوم في السفر ويفطر، ورأيته يشرب قائمًا وقاعدًا، ورأيته يصلِّي حافيًا ومنتعلاً، ورأيته ينصرف عن يمينه وعن يساره”؛ رواه أحمد، وقال الترمذي: “هذا حديث حسن صحيح”
Maknanya: Amru bin Syu’aib meriwayatkan dari bapanya dan bapanya meriwayatkan dari datuknya, Katanya, “Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berpuasa ketika musafir dan berbuka. Aku juga melihat Baginda minum berdiri dan duduk. Aku melihat Baginda bersolat dalam keadaan tidak memakai selipar dan bersolat dalam keadaan memakai selipar dan aku melihat Baginda meninggalkan tempat dari bahagian kanan dan kiri.” (Hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam al-Tirmizi)
قالت كبشة: “دخل عليّ رسول الله – صلى الله عليه وسلم – ذات يوم، فشرب من في قربة معلَّقة وهو قائم، قالت: فقطعت فم القربة”؛ أخرجه الترمذي، وقال هذا حديث حسن صحيح غريب
Maknanya: Kabsyah meriwayatkan, “Suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ke dalam rumahku lalu beliau minum dari mulut qirbah(bekas minuman dari kulit) yang digantungkan sambil berdiri. Aku lantas menuju qirbah tersebut dan memutus mulut qirbah itu.” (Hadith riwayat Imam al-Tirmizi)
RIWAYAT-RIWAYAT YANG MENUNJUKKAN PARA SAHABAT MINUM BERDIRI
عن مالك، “أنَّ عمر بن الخطاب، وعلي بن أبي طالب وعثمان بن عفان، كانوا يشربون قيامًا” الموطأ
Maknanya: Imam Malik bin Anas meriwayatkan di dalam al-Muwatta’, “Sesungguhnya Umar bin al-Khattab, Ali bin Abu Talib, Uthman bin al-Affan minum dalam keadaan berdiri.”
عن مجاهد قال “أن عليًّا شرب قائمًا”؛ رواه البخاري في “التاريخ الكبير”
Maknya: Imam Mujahid berkata, “Sesungguhnya Ali minum berdiri.” (Riwayat Imam al-Bukhari di dalam al-Tarikh al-Kabir)
عن أبي جعفر القارئ أنه قال: “رأيت عبدالله بن عمر يشرب قائمًا”؛ رواه مالك في الموطأ
Maknanya: Abu Ja’afa al-Qari berkata, “Aku melihat Abdullah bin Umar minum berdiri.” (Riwayat Imam Malik di dalam al-Muwatta’)
عن عامر بن عبدالله بن الزبير، عن أبيه: “أنه كان يشرب قائمًا”؛ رواه مالك
Maknanya: Amir bin Abdullah bin al-Zubair meriwayatkan dari bapanya, “Sesungguhnya beliau(Bapanya Abdullah bin al-Zubair Radiyallahu ‘anhu) minum berdiri.” (Riwayat Imam Malik di dalam al-Muwatta’)
PANDANGAN ULAMA DALAM MENGHIMPUNKAN ANTARA HADITH LARANGAN DAN HADITH AMALAN MINUM BERDIRI
Sebahagian ulama berpendapat bahawa hadith-hadith yang melarang minum berdiri telah dimansukhkan oleh hadith-hadith yang menunjukkan amalan Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang minum berdiri. Pendapat ini merupakan pendapat ulama-ulama mazhab Maliki.
Ada pendapat yang menyatakan larangan minum berdiri bukan larangan yang menandakan ia adalah haram, tetapi hanya sekadar untuk mengelakkan kemudaratan akibat minum berdiri.
Sebahagian ulama berpendapat, minum berdiri adalah haram kecuali ketika minum air zamzam. Sebahagain yang lain menyatakan bukan hanya sekadar minum air zamzam, malah diharuskan minum lebihan air wuduk dalam keadaan berdiri.
Menurut pendapat yang lain, hadith yang melarang minum berdiri hanya sekadar makruh bukan haram di mana ia sekadar menjelaskan amalan minum duduk adalah lebih afdal. Ini pendapat Imam Ibn Jarir al-Tabari, al-‘Aini, al-Baghawi, al-Nawawi dan Ibn Hajar al-‘Asqallani.
HUKUM MINUM BERDIRI MENURUT MAZHAB SYAFI’IE
Menurut Imam al-Nawawi di dalam karangannya ‘Raudah al-Talibin’:
وَلَا يُكْرَهُ الشُّرْبُ قَائِمًا، وَحَمَلُوا النَّهْيَ الْوَارِدَ عَلَى حَالَةِ السَّيْرِ. قُلْتُ: هَذَا الَّذِي قَالَهُ مِنْ تَأْوِيلِ النَّهْيِ عَلَى حَالَةِ السَّيْرِ، قَدْ قَالَهُ ابْنُ قُتَيْبَةَ وَالْمُتَوَلِّي، وَقَدْ تَأَوَّلَهُ آخَرُونَ بِخِلَافِ هَذَا. وَالْمُخْتَارُ أَنَّ الشُّرْبَ قَائِمًا بِلَا عُذْرٍ خِلَافَ الْأَوْلَى، لِلْأَحَادِيثِ الصَّرِيحَةِ بِالنَّهْيِ عَنْهُ فِي صَحِيحِ مُسْلِمٍ. وَأَمَّا الْحَدِيثَانِ الصَّحِيحَانِ عَنْ عَلِيٍّ وَابْنِ عَبَّاسٍ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَرِبَ قَائِمًا، فَمَحْمُولَانِ عَلَى بَيَانِ الْجَوَازِ جَمْعًا بَيْنَ الْأَحَادِيثِ.
راجع: روضة الطالبين وعمدة المفتين, أبو زكريا محيي الدين يحيى بن شرف النووي, كتاب الصداق, باب الوليمة, فصل في آداب الأكل.
Maksudnya: Minum dalam keadaan berdiri tidak makruh (hukumnya) dan para ulama menjelaskan larangan (minum berdiri) yang wujud adalah minum dalam keadaan berjalan. Menurut saya, ini adalah pentakwilan bagi siapa yang menyatakan larangan tersebut iaitu di dalam keadaan berjalan, sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Qutaibah dan al-Mutawalli. Terdapat selain dari mereka telah mentakwilkan larangan tersebut yang berlainan dari itu. Pendapat yang terpilih, minum dalam keadaan berdiri tanpa keuzuran ialah ‘khilaf al-aula’(menyelisihi yang lebih utama), berdasarkan hadith-hadith larangan yang jelas di dalam sahih Muslim. Manakala dua hadith sahih yang diriwayatkan dari Ali dan Ibnu Abbas Radiyallahu ‘anhuma bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam minum dalam keadaan berdiri menjelaskan keharusan (minum berdiri) sebagai menghimpun antara hadith-hadith (yang bertentangan).
Menurut Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari di dalam ‘al-Ghurar al-Bahiyyah’:
ولا يكره الشرب قائما إلا سائرا نقله الرافعي عن الأصحاب قال في الروضة: والمختار أن الشرب قائما بلا عذر خلاف الأولى، وقال في شرح مسلم الصواب بأنه مكروه، وأما شربه – صلى الله عليه وسلم – قائما فلبيان الجواز ولا يكره الأكل قائما بلا حاجة وتركه أفضل.
راجع: الغرر البهية في شرح البهجة الوردية, زكريا بن محمد بن أحمد بن زكريا الأنصاري, باب الصداق, تتمة في حكم تنازع الزوجين في المهر
Maksudnya: Tidak dimakruhkan minum dalam keadaan berdiri kecuali di dalam keadaan berjalan sepertimana yang dinukilkan oleh al-Rafi’ie dari (pandangan) ulama-ulama mazhab Syafi’ie. (al-Nawawi) berkata di dalam Raudah al-Talibin, “Pendapat yang terpilih, minum dalam keadaan berdiri tanpa keuzuran ialah ‘khilaf al-awla’(menyalahi yang lebih utama)”. Beliau menyebut di dalam Syarah Sahih Muslim, “Yang benar ia adalah makruh”. Manakala Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam minum berdiri sebagai penjelasan hukum keharusannya. Tidak dimakruhkan makan berdiri tanpa hajat, tetapi meninggalkan ia adalah lebih afdal.
Jelas di sini, mazhab Syafi’ie tidak mengharamkan minum berdiri, namun terdapat khilaf dari kalangan ulama mazhab iaitu ada di antara mereka yang menyatakan minum berdiri adalah harus hukumnya seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Rafi’ie. Imam al-Nawawi pula menyatakan hukum makruh di dalam Syarah Sahih Muslim, namun sedikit berbeza di dalam kitab Raudah al-Talibin, Imam al-Nawawi menyatakan hukum minum berdiri adalah ‘khilaf al-aula’ iaitu hukum yang lebih ringan dari hukum makruh.
KESIMPULAN:
1. Wujud hadith yang melarang minum berdiri, tetapi jangan dilupakan terdapat juga hadith yang menunjukkan amalan minum berdiri thabit pada amalan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat.
2. Ulama berselisih pendapat mengenai hukum minum berdiri, majoriti ulama salaf dan khalaf tidak mengharamkan amalan minum berdiri, Cuma khilaf di antara mereka berlegar di sekitar harus dan makruh.
3. Dalam perspektif mazhab syafi’ie, secara muktamadnya hukum minum berdiri bukanlah haram di sisi syafi’iyyah, malah sebahagian dari mereka menilai sebagai hukum harus dan khilaf al-aula(antara harus dan makruh) menurut Imam al-Nawawi.
4. Tidak wajar seseorang memandang amalan minum berdiri seolah-olah ia adalah amalan yang haram di sisi agama kerana majoriti ulama sendiri tidak meletakkan hukum haram ke atas amalan minum berdiri.
5. Tidak wajar juga amalan minum berdiri dianggap sebagai amalan yang tidak beradab, ini kerana secara jelas amalan ini dilakukan oleh Baginda SAW dan para sahabat sepertimana yang termaktub di dalam riwayat-riwayat yang sahih.
6. Dalam urusan mendidik, sewajarnya diajar agar minum duduk kerana menurut amalan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam secara umumnya lebih banyak minum dalam keadaan duduk.
7. Minum duduk adalah lebih afdal dari minum berdiri, namun tidak bermakna yang kurang afdal itu adalah keji dan buruk.
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...